My Photo
Name:
Location: Georgetown, Penang, Malaysia

New Kid in Politics that truly loves his country and Penang

Wednesday, April 18, 2007

Surat Aduan Kepada SPR terhadap Salahlaku BN Semasa Pilihan Raya Kecil Machap

17 APRIL 2007

DENGAN TANGAN:

Tan Sri Datuk Seri Panglima Haji Ab. Rashid bin Ab. Rahman,
Pengerusi,
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR),
Aras 4 & 5, Blok C7, Kompleks C,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62690 Putrajaya.


Yang Berbahagia Tan Sri,

Aduan terhadap Salahlaku Calon dan Petugas-petugas Barisan Nasional (BN) Semasa Pilihan Raya Kecil Machap

Saya ingin menarik perhatian pihak tuan terhadap salahlaku-salahlaku calon dan petugas-petugas Barisan Nasional (BN) semasa berlangsungnya pilihan raya kecil Machap dari 3hb sehingga 12hb April 2007.

2. Salahlaku-salahlaku tersebut adalah serius dan menyalahi undang-undang serta perlu diambil tindakan tegas baik oleh pihak polis mahupun pihak tuan demi kelicinan, keadilan dan kebersihan proses pilihan raya yang demokratik, seperti:

(1) Penyogokan melalui cara pembelian wang kepada pengundi-pengundi selepas membuang undi

Pada 12 April 2007 iaitu hari pengundian kira-kira jam 12.30 tengahari, saya menerima laporan bahawa banyak pengundi-pengundi yang telah membuang undi berkumpul di luar sebuah rumah kosong berhadapan dengan SJK (C) Khiak Yew, Tebong. Disyaki bahawa pengundi-pengundi tersebut telah diberikan sejumlah wang sogokan oleh orang yang berada dalam rumah itu, iaitu di antara RM50 hingga RM200 kepada setiap pengundi mengikut jarak rumah mereka ke tempat mengundi.

Repot polis 000115/07 telah dibuat di Balai Polis Tebong pada jam 1.00 petang. Foto-foto dan video yang kita ambil telah diserahkan ke IPK Melaka pada 13 April 2007 dan disertakan untuk tindakan pihak tuan yang selanjutnya. Kesalahan tersebut merupakan kesalahan jenayah serius yang menyalahi Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan boleh dihadapkan ke mahkamah serta dijatuhkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun dan denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih daripada RM5,000.

(2) Penyogokan melalui cara pembelian wang RM20 kepada setiap peserta sesi karaoke anjuran MCA

Mengikut laporan yang disiarkan dalam akhbar The Sun pada 11 April 2007, didapati setiap penduduk yang menyertai sesi karaoke anjuran MCA di kawasan rumah pangsa Machap Baru telah diberikan wang sebanyak RM20. Lebih kurang 40 penduduk di sekitarnya telah menyertai aktiviti tersebut. Keadaan ini juga berunsurkan penyogokan dan bertujuan untuk mempengaruhi pilihan mereka pada hari mengundi kelak.

(3) Merayu atau memujuk pengundi-pengundi supaya mengundi atau mengundi mana-mana calon pilihan raya dalam jarak 50 meter dari sempadan tempat mengundi

Mengikut Seksyen 26(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, tiada seorang pun pada hari mengundi boleh merayu-rayu atau memujuk atau cuba memujuk mana-mana orang supaya mengundi atau tidak mengundi mana-mana calon dalam pilihan raya tersebut, dan juga dilarang berbuat demikian dalam jarak 50 meter dari sempadan mana-mana tempat mengundi.

Didapati pemimpin-pemimpin BN/MCA yang berpangkat Menteri juga terlibat dalam aktiviti-aktiviti tersebut. Foto-foto tersebut disertakan untuk membantu tindakan yang diambil oleh pihak tuan kelak. Mana-mana orang yang didapati bersalah boleh dipenjarakan tidak melebihi satu tahun atau didenda lebih RM1,000 dan tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

(4) Perbelanjaan pihak BN bagi pilihan raya kecil kali ini secara jelas telah melebihi RM100,000.

Jelasnya, perbelanjaan pihak BN bagi pilihan raya kecil kali ini telah melebihi RM100,000 jika hanya dihitung poster, banner dan bunting yang digantung, risalah dan CD yang diagihkan, serta makanan dan minuman yang telah dibelanjakan dalam tempoh pilihan raya tersebut.

Mengikut Seksyen 19(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, tiada wang yang boleh dibayar dan tiada belanja boleh dilakukan oleh seseorang calon atau oleh ejennya semasa atau selepas sesuatu pilihan raya melebihi RM100,000 dalam hal sesuatu pilihan raya bagi kerusi Dewan Undangan Negeri dan adalah bersalah atas sesuatu perbuatan yang menyalahi undang-undang.

(5) Kes pergaduhan berdarah yang berlaku pada hari penamaan calon yang mencederakan dua orang ahli DAP dan layanan kasar serta ugutan terhadap wartawan-wartawan yang sedang bertugas

Insiden berunsur keganasan yang berlaku pada hari penamaan tersebut merupakan taktik kotor pihak BN untuk menakutkan para pengundi serta mendisplinkan para wartawan yang bertugas dalam pilihan raya kecil kali ini. Dalam kejadian tersebut, dua orang ahli DAP iaitu K. Kannis A/L Kanniah dan Vijayan A/L Arumugam telah dicederakan, seorang jurukamera bagi Harian Makkal Osai iaitu Malayandi A/L Pidaran dan seorang wartawan wanita bagi Harian Malaysian Nanban iaitu Malini A/P Rangasamy telah diugut.

Bendera parti MIC dan batu-bata telah digunakan sebagai senjata dalam kejadian tersebut. Mereka yang dipercayai merancang serta terlibat dalam insiden kali ini termasuklah Setiausaha Parlimen bagi Kementerian Belia dan Sukan Datuk S.A. Vigneswaran serta ahli-ahli Briged Pemuda MIC. Kelakuan tersebut adalah menyalahi Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan boleh dijatuhkan penjara tidak melebihi 5 tahun dan denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali. Repot-repot polis telah dibuat di Pondok Polis Machap Umboo pada 3 April 2007. Sehingga hari ini, tiada mana-mana orang dihadapkan ke mahkamah untuk diadili.

(6) Peruntukan kewangan yang diumumkan oleh calon BN secara tidak langsung boleh disifatkan sebagai bersalah atas kesalahan menyogok

Lawatan turun padang calon BN iaitu Lai Meng Chong ke Machap Baru pada 4 April 2007 dan menjanjikan peruntukan kewangan kerajaan negeri Melaka di antara RM6,000 sehingga RM13,000 bagi 5 unit rumah kediaman yang terlibat telah menyalahi Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan boleh dijatuhkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun dan denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih daripada RM5,000. Sebagai seorang calon, beliau memang tidak berkuasa untuk menjanjikan peruntukan kewangan kerajaan persekutuan atau negeri secara langsung atau tidak langsung.

Walaupun beliau menafi dirinya telah menjanjikan peruntukan kewangan tersebut dan hanya setakat membantu tuan-tuan rumah yang terlibat untuk mengemukakan borang permohonan mereka, namun ini bertentangan dengan apa yang telah dilaporkan dalam akhbar Sin Chew Daily pada 5 April 2007, dan menunjukkan bahawa peruntukan kewangan berjumlah lebih kurang RM50,000 telah diluluskan untuk tujuan pembinaan rumah atau memperbaiki bahagian-bahagian rumah yang telah rosak.

3. Walaupun perkara-perkara tersebut hanyalah merupakan sebahagian kecil perbuatan rasuah atau yang menyalahi undang-undang telah dilakukan oleh calon atau petugas-petugas, namun DAP mendesak pihak tuan supaya mengambil tindakan tegas dengan serta-merta untuk menyiasat serta menghadapkan mereka yang terlibat ke mahkamah.

4. Pihak tuan perlulah bertindak adil dalam membanteras segala perbuatan rasuah demi menegakkan keadilan serta menjamin keadilan, kebersihan dan kesaksamaan proses pilihan raya dalam negara kita. Segala tindakan tegas pihak tuan adalah dihargai.

Sekian, terima kasih.


Yang Benar,


(NG WEI AIK)

Setiausaha Politik kepada
Setiausaha Agung DAP

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home